News

Masalah pundi kencing boleh dirawat

July 28, 2025

Share This News:

PUNDI kencing adalah organ dalam badan manusia yang kompleks namun tahap kesihatannya sering diabaikan.

Antara gejala yang boleh dihadapi pada organ itu adalah seperti masalah kencing iaitu kencing tidak lawas, tidak puas, perlahan atau terlalu kerap, radang, jangkitan saluran kencing (UTI) dan kanser pundi kencing.

Ada menganggap, keadaan dihadapi itu kerana faktor usia dan mengabaikannya, sedangkan ia masalah yang sebenarnya perlu dirawat tidak kira usia.

Pakar Perunding Urologi Hospital Picaso, Dr Badrulhisham Bahadzor, berkata pundi kencing adalah organ yang berfungsi untuk menyimpan dan mengeluarkan air kencing yang dihasilkan dari buah pinggang.

| Disyorkan

Katanya, organ itu mampu menampung antara 350 hingga 450 mililiter (ml) air kencing pada satu-satu masa bergantung kepada individu itu manakala kekerapan kencing, kurang daripada lapan kali sehari.

Dr Badrulhisham Bahadzor
Dr Badrulhisham Bahadzor

"Selepas beberapa jam atau selepas pundi kencing penuh, kita akan terasa mahu kencing kerana otot organ itu akan menghantar signal ke otak supaya mengeluarkan air kencing melalui saluran kencing," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, katanya masalah seperti kencing tidak lawas, tidak puas, perlahan dan terlalu kerap, ia menunjukkan ada masalah pada organ berkenaan.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah itu termasuk organ pundi kencing itu sendiri atau kawalan saraf berkaitan pundi kencing.

"Masalah pundi kencing yang berlaku kepada lelaki berusia 50 tahun ke atas lazimnya, disebabkan proses penuaan atau bengkak prostat iaitu keadaan menyebabkan saluran kencing terhimpit sekali gus menjejaskan fungsi pundi kencing.

"Jika berlaku pada wanita, ia boleh disebabkan otot lantai pelvis yang lemah, selain jangkitan kuman bakteria (UTI).

"Ini selalu dikaitkan dengan wanita kerana anatomi struktur saluran kencing berbeza, tetapi ada juga lelaki boleh terkena jangkitan itu.

"Lelaki yang mendapat UTI dikategorikan sebagai 'complicated' dan akan dijalankan penyelidikan mengapa keadaan itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, banyak perkara menyebabkan UTI. Bagi wanita akibat perubahan fisiologi seperti menopaus yang menyebabkan perubahan berlaku di faraj, kulit menjadi kering hingga sistem pertahanan kuman menjadi lemah.

Katanya, jika jangkitan kuman berlaku kepada wanita muda, ia berkemungkinan disebabkan aktiviti seks yang menyebabkan kuman masuk ke pundi kencing.

"Jika UTI berlaku kepada wanita, ia lebih kepada mengganggu fungsi simpanan air kencing hingga menyebabkan kencing kerap dan tidak lawas," katanya.

Langkah elak komplikasi

Dr Badrulhisham, berkata UTI berterusan juga boleh menyebabkan radang pada pundi kencing sekali gus rasa pedih dan tidak selesa ketika kencing.

Katanya, jika radang semakin teruk ia menyebabkan air kencing bercampur darah dan apabila kuman masuk ke saluran darah, boleh berlaku demam teruk hingga menggigil.

Beliau berkata, masalah pada pundi kencing tidak boleh dicegah jika disebabkan faktor penuaan.

Langkah pencegahan lebih kepada tahap pengetahuan masalah dihadapi dengan memberi perhatian dan dirawat supaya tidak lebih teruk.

"Jika masalah UTI sering berlaku kepada wanita selepas mengadakan hubungan dengan suami, dia perlu mengambil langkah menjaga kebersihan diri dan memperbanyakkan minum air supaya lebih kerap kencing sekali gus dapat mengelak daripada kuman sempat membiak di dalam pundi kencing," katanya.

Namun katanya, jika UTI kerap berlaku iaitu sehingga dua kali dalam tempoh enam bulan, pesakit perlu mengambil antibiotik atau cara ubatan lain seperti pengambilan jus kranberi atau makanan tambahan seperti D-Mannose yang dapat membantu mengurangkan populasi kuman dalam air kencing.

Ditanya berkenaan masalah terkincit atau terkencing, Dr Badrulhisham berkata, terdapat dua keadaan iaitu pertama urge urinary incontinence, iaitu keadaan tidak boleh tahan kencing hingga tidak sempat ke tandas.

Katanya, keadaan kedua pula adalah stress urinary incontinence iaitu terkencing disebabkan tekanan tinggi dalam abdomen ketika batuk, bersin, ketawa kuat atau berubah posisi dari duduk untuk berdiri.

"Stress urinary incontinence banyak dialami wanita berusia kerana otot lantai pelvis yang semakin lemah dan boleh dilemahkan lagi kerana menopaus, obesiti dan penyakit lain seperti kencing manis yang merosakkan saraf.

Beliau berkata, lelaki yang mengalami stress urinary incontinence antaranya disebabkan perokok tegar yang selalu batuk, obesiti, kencing manis tidak terkawal, penyakit saraf, pernah terkena strok dan akibat kemalangan yang mencederakan saraf tulang belakang.

Gaya hidup dan diet turut memberi kesan kepada keadaan pundi kencing namun ia juga bergantung kepada faktor genetik yang menentukan kesihatan fizikal individu itu.

Punca lain, makanan berkafein terutama kopi, pengambilan alkohol berlebihan dan juga makanan pedas dan citrus seperti limau dan oren serta sos tomato dan kicap.

Rawatan pundi kencing

Dr Badrulhisham berkata, masalah pundi kencing boleh dirawat dan jika terkena UTI, rawatan antibiotik dapat membantu.

Jika kerana prostat katanya, rawatan boleh dibuat dengan makan ubat terlebih dahulu dan jika tidak berkesan perlu menjalani pembedahan dan tidak akan berlaku masalah di organ itu lagi.

"Selain itu, perlukan pastikan gaya hidup yang sihat termasuk minum air dengan jumlah yang betul," katanya.

Dr Badrulhisham berkata, sebagai pakar dalam bidang itu, beliau melihat ramai pesakit yang mempercayai pelbagai mitos berkenaan masalah pundi kencing.

Katanya, ia termasuk mengatakan, masalah kencing seperti kencing tidak lawas dan sebagainya yang dihadapi adalah kerana terdapat masalah pada buah pinggang.

"Ini tidak benar sama sekali, kerana masalah kencing bermakna ada masalah pada pundi kencing dan tiada kena mengena dengan bahagian buah pinggang.

"Selain itu ramai merasakan masa­ lah terkincit adalah normal terutama kerana faktor usia, tetapi sebenarnya ia tidak normal dan perlu diperiksa dan menerima rawatan sewajarnya kerana ia masih boleh dirawat," katanya.

Beliau berkata, ada juga yang mengatakan menahan kencing tidak elok dan boleh menyebabkan batu karang dan ia sama sekali tidak benar.

Katanya, menahan kencing sebenarnya boleh dalam keadaan tertentu dan ia juga tidak boleh menyebabkan batu karang kerana proses berlakunya batu karang itu kompleks dan berlaku di buah pinggang bukan pundi kencing.

"Bagaimanapun, saya melihat ketika ini ramai yang sudah ada kesedaran berkenaan masalah pundi kencing malah ada pesakit muda lingkungan 20-an hingga 30-an ada datang untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Justeru beliau berharap, lebih ramai golongan tidak kira tua atau muda yang ada simptom, segera buat pemeriksaan sewajarnya.

Ini kerana katanya, ramai yang suka membuat carian sendiri dan mendiagnosis diri sendiri selain percaya dengan mitos.

"Lebih baik berjumpa doktor untuk mendapatkan maklumat dan rawatan sepatutnya supaya masalah dapat dirawat," katanya.

Hospital Picaso komited dalam menyediakan rawatan holistik dengan teknologi terkini dan pakar urologi yang berpengalaman.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.hospitalpicaso.com/ atau hubungi +603-7457 2888.

Pemulihan adalah satu perjuangan yang wajar diperjuangkan.

Source

Reference

Back

Consult Our Dedicated Specialists Today!

Decades of experience under their belt — at your service just a few clicks away.

Book Appointment Contact Us
Consult our dedicated specialists today!