Kanser dalam perut boleh dirawat tanpa pembedahan
Berita Harian
November 10, 2025

Kemajuan saintifik menjadikan prosedur seperti angioplasti dan pembedahan pintasan lebih selamat. - Foto hiasan
KANSER gastrousus (GI) antara penyakit digelar pembunuh senyap kerana lazimnya, tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
Ia menyerang organ utama sistem penghadaman seperti usus (kolorektal), perut dan esofagus.
Saiznya yang kecil dan perubahan morfologi yang halus menyebabkan kanser GI awal sukar dikesan.
Bagaimanapun, kemajuan teknologi perubatan sepertil endoskopi membolehkan kanser ini dikesan lebih awal sekali gus meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh.
Pakar Perunding Gastroenterologi Hospital Picaso, Dr Ho Shiaw Hooi, berkata kanser GI awal merujuk kepada keadaan apabila sel kanser masih berada pada peringkat awal perkembangan dan belum merebak ke lapisan dinding gastrousus yang lebih mendalam.
Kanser GI esofagus, gastrik, dan kolorektal sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup tidak sihat serta sesetengah keadaan perubatan tertentu. Antaranya adalah merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, obesiti, kurang senaman, pengambilan makanan yang kurang serat tetapi tinggi daging merah, daging diproses dan lemak haiwan.
Faktor yang khusus untuk kanser esofagus adalah amalan mengunyah pinang, minum cecair yang terlalu panas dan sejarah pengambilan bahan kaustik; manakala untuk kanser gastrik termasuk pengambilan makanan salai, masin atau jeruk yang tinggi.
Keadaan perubatan yang meningkatkan risiko untuk kanser esofagus adalah penyakit seperti GERD, esofagus Barrett, akalasia kardia dan jangkitan kuman HPV.
Untuk kanser gastrik, faktor perubatan termasuk jangkitan H. pylori, gastritis kronik, intestinal metaplasia gastrik, adenoma gastrik, dan sejarah keluarga kanser gastrik.
Keadaan perubatan yang meningkatkan risiko untuk kanser kolorektal adalah penyakit radang usus (IBD), sindrom genetik tertentu (seperti FAP, sindrom Lynch) serta sejarah keluarga kanser kolorektal.
"Pada peringkat awal, kanser ini tidak menunjukkan sebarang simptom. Namun, individu berisiko disarankan menjalani saringan," katanya kepada BH.

Beliau menegaskan, saringan kolonoskopi disaran setiap lima hingga 10 tahun bagi individu berusia 45 tahun ke atas manakala bagi yang ada sejarah keluarga kanser kolon, saringan perlu dilakukan lebih awal.
Sebagai contoh, jika abang mendapat kanser kolon pada usia 50 tahun, adik-beradik lain wajar mula pemeriksaan pada usia 40 tahun.
Bagi gastroskopi pula, buat masa ini masih lagi tiada garis panduan untuk membuat saringan pada sesetengah usia tertentu. Malaysia tidak mempunyai insiden kanser gastrik yang tinggi dan masih berada di tahap pertengahan.
Justeru, tidak salah jikalau individu tertentu ingin membuat saringan gastroskopi selepas usia 45 tahun terutamanya individu yang ada faktor risiko yang disebut di atas ataupun individu mempunyai sakit gastrik pada usia ini.
Menurut beliau, kanser pada tahap lanjut lazimnya menunjukkan simptom jelas seperti kurang darah, sakit perut yang berlanjutan, hilang berat badan dan selera makan, pertukaran tabiat membuang air besar, najis berdarah atau bertukar hitam.
Kanser tahap lanjut juga menyerang organ tisu yang berdekatan dan juga mampu merebak ke organ tisu yang berjauhan melalui pengaliran darah dan limfa. Bagi kanser di peringkat awal pula, kebarangkalian ataupun keupayaan merebak masih rendah.
"Sebahagian kanser GI peringkat awal boleh dirawat hanya melalui reseksi endoskopik.
"Bagaimanapun, spesimen yang telah direseksi perlu diperiksa melalui pemeriksaan histologi dengan teliti untuk menilai sama ada reseksi itu bersifat kuratif atau tidak, berdasarkan kriteria piawaian yang telah ditetapkan.
"Jika ia kuratif, tiada rawatan lanjut diperlukan kecuali pemantauan susulan. Jika tidak, rawatan tambahan akan diperlukan," katanya.
Justeru, pakar patologi juga memainkan peranan yang penting.
Beliau menambah, prognosis kelangsungan hidup untuk pesakit kanser GI awal selepas rawatan boleh mencecah 90 peratus bagi tempoh lima tahun, bergantung pada tahap kanser.
Kaedah endoskopi, jelasnya, membolehkan doktor melihat permukaan mukosa usus atau perut dengan teliti, selain mengambil sampel biopsi untuk menentukan jenis ketumbuhan dan juga mengeluarkan lesi secara langsung.
Beliau turut menjelaskan, mengenai penggunaan teknik imejan lanjutan, dipanggil Image Enhanced Endoscopy (IEE), yang merangkumi Conventional Chromoendoscopy (menggunakan pewarna) dan Virtual Chromoendoscopy (menggunakan kaedah optik digital) yang mampu membantu mengesan lesi awal dengan lebih tepat.
Antara teknologi endoskopi baharu yang digunakan ialah pemproses endoskopi berteknologi tinggi dengan endoskop berdefinisi ultra-tinggi, yang mampu menghasilkan paparan 4K berkualiti tinggi.
Peralatan ini menyokong teknologi magnifying virtual chromoendoscopy yang fleksibel, membolehkan imej endoskopi diperbesarkan melalui zoom optikal sekitar 100 kali ganda dan juga dipertingkatkan melalui sinaran spektrum terhad, selain daripada membekalkan standard White Light Endoscopy (WLE) yang lebih jelas dan berkualiti.
Mengulas teknik rawatan endoskopik untuk kanser GI awal, beliau berkata dua prosedur utama digunakan iaitu Endoscopic Mucosal Resection (EMR) dan Endoscopic Submucosal Dissection (ESD).
Dr Ho berkata, EMR yang sudah digunakan sejak dari 1970-an lagi, bertujuan mengeluarkan lesi malignan awal seperti kanser esofagus, gastrik dan kolorektal yang awal dalam bentuk ketulan melalui kaedah endoskopi.
Katanya, kaedah yang digunakan adalah dengan memasukkan larutan cecair ke dalam lapisan submucosa (yang berada dibawah lesi) untuk menolak lesi menjauhi lapisan otot. Justeru, lesi akan dikeluarkan melalui penggunaan 'electrical snare'.
"Disebabkan oleh faktor keselamatan dan saiz 'electrical snare' yang terhad, lesi bersaiz lebih 2 sentimeter (cm), perlu dipotong beberapa kali (piecemeal EMR) sebelum mencapai pemotongan yang lengkap.
Justeru, lesi besar yang dikeluarkan melalui kaedah piecemeal EMR ini adalah dalam bentuk berketul-ketul dan bukanya dalam bentuk seketul.
"Kelebihan EMR adalah mudah dan cepat, namun kekurangannya, EMR hanya boleh mengeluarkan lesi yang bersaiz kurang dari 2cm secara enbloc (seketul)," katanya.
Kaedah ESD katanya, lebih rumit dan hanya ada beberapa pusat rawatan yang terhad di Malaysia yang boleh melaksanakannya.
Katanya, ESD adalah kaedah lebih maju dan walaupun masa diambil lebih lama berbanding prosedur EMR, ia boleh mengeluarkan lesi lebih besar secara enbloc (seketul).
Kelebihan pengeluaran lesi secara enbloc mungkin tidak penting untuk lesi yang 'benign', tetapi ia penting untuk pengeluaran lesi kanser.
"Secara prinsip, teknik ESD merangkumi tiga langkah utama. Langkah pertama adalah membuat petanda disekeliling kanser awal dengan menggunakan magnifying virtual chromoendoscopy. Langkah ini adalah mustahak supaya pemotongan dapat merangkumi semua sempadan kanser.
Langkah kedua, memasukkan cecair di lapisan submucosa yang berada di bawah petanda diikuti dengan pemotongan lapisan mucosa di sekeliling lesi. Langkah ini memisahkan lesi daripada tisu sekelilingnya. Langkah ketiga adalah pemotongan lapisan submucosa di bawah lesi dengan menggunakan pisau ESD yang khusus.
Langkah ini memisahkan lesi secara sedikit demi sedikit daripada lapisan submucosa," katanya.
Selain itu, Hospital Picaso kini dalam fasa uji-guna teknologi kecerdasan buatan (AI) yang terbukti meningkatkan kadar pengesanan lesi sehingga 50 peratus, selain memberi amaran jika bahagian tertentu terlepas pemeriksaan.
Selain itu katanya, AI juga dapat membantu doktor mengesan lesi mencurigakan sama ada kanser atau lesi non-neoplastik.
"AI juga mampu mengesan bahagian yang belum diperiksa selain dapat memberi amaran jika skop ditarik terlalu cepat ketika sedang menjalani prosedur," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara paling penting selepas pesakit menjalani prosedur dan untuk mengurangkan kejadian kanser berulang, pesakit perlu dipantau.
Katanya, endoskopi pemantauan itu bertujuan untuk mengesan kanser berulang di tahap awal.
"Paling penting, pesakit juga perlu mengubah gaya hidup dengan mengamalkan pemakanan sihat, mengurangkan makanan berproses, bersenam, mengekalkan berat badan ideal serta berhenti merokok dan minum alkohol," katanya.
Beliau menegaskan, dengan teknologi moden dan pengesanan awal, kanser GI bukan lagi hukuman mati, sebaliknya pesakit mempunyai peluang cerah untuk sembuh sepenuhnya.
Hospital Picaso komited menyediakan rawatan holistik dengan teknologi terkini dan pakar gastroenterologi yang berpengalaman.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.hospitalpicaso.com/ atau hubungi +603-7457 2888.
Source
Kanser dalam perut boleh dirawat tanpa pembedahan (Berita Harian, 10 November 2025)
Reference

Meet Our Specialists
Dr Ho Shiaw Hooi
Consultant Gastroenterologist & Physician