News

Bertahun disangka tekanan, rupanya endometriosis, Dr. Sharifah Halimah tekankan sokongan psikologi sebagai rawatan

May 23, 2025

Share This News:

Illustration of endometriosis

Dianggarkan kira-kira enam sehingga 10 peratus wanita dalam usia subur seluruh dunia mengalami endometriosis. 

RAMAI wanita dibesarkan dengan kepercayaan bahawa sakit haid adalah perkara biasa.

Namun bagi pegawai perubatan, Dr Ashvinder dan tutor, Shajeda, realitinya jauh lebih rumit.

Mereka tidak mengalami sakit haid biasa, mereka menghidap endometriosis iaitu satu penyakit kronik yang sering diabaikan dan disalah anggap.

Dr. Sharifah Halimah Jaafar and Dr. Ashvinder

Dr. Sharifah Halimah Jaafar (kiri) dan Dr. Ashvinder.

Endometriosis berlaku apabila tisu mirip lapisan rahim tumbuh di luar rahim, menyebabkan sakit pelvis yang teruk, keletihan dan kadang-kala masalah kesuburan.

Dianggarkan kira-kira enam sehingga 10 peratus wanita dalam usia subur seluruh dunia mengalaminya, namun ramai yang tidak mendapat diagnosis tepat selamat bertahun-tahun.

“Saya sangka ia cuma sakit haid biasa,” kata Dr Ashvinder, 28 yang hanya disahkan menghidap endometriosis pada pertengahan usia 20-an.

“Walaupun saya belajar perubatan, kami tak diajar secara mendalam berkaitan penyakit ini. Kami lebih fokus kepada penyakit yang boleh membawa maut, bukan yang membunuh dalam diam," jelasnya.

Bagi Shajeda, kesakitannya bermula seawal usia 14 tahun. Beliau terpaksa menukar sehingga 16 pad sehari dan tidak mampu berdiri pada hari pertama haid.

“Selama tujuh tahun, saya percaya cakap doktor yang kata ia hanya tekanan atau pemakanan. Tapi naluri saya kata ada sesuatu yang tak kena,” katanya.

Kedua-kedua mereka akhirnya mendapat bantuan selepas bertemu Pakar Perunding Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik di Hospital Picaso, Dr. Sharifah Halimah Jaafar.

"Beliau bukan sahaja tanya tentang sakit saya, tapi juga tentang kerja, impian dan kesan emosi. Itu jarang berlaku," ujar Shajeda.

Selepas menjalani pembedahan laparoskopi dan rawatan hormon, mereka kini masih meneruskan rawatan susulan. Namun, perjalanan itu bukan mudah.

Illustration of endometriosis condition

Endometriosis adalah penyakit kronik yang sering diabaikan dan disalah anggap.

"Saya jadi murung dan cepat marah. Rupa-rupanya kesan hormon," kata Dr Ashvinder.

Tegas Dr. Sharifah Halimah, endometriosis bukan isu sakit puan semata-mata.

"Ia bukan sahaja menjejaskan kesuburan, malah menjejaskan pendidikan, kerjaya, kesihatan mental dan emosi. Kita perlu ubah pendekatan," katanya.

Di Hospital Picaso, beliau mengetuai perkhidmatan khas untuk pesakit endometriosis di bawah satu bumbung yang menawarkan gabungan diagnosis tepat, pembedahan invasif minimum, rawatan hormon, sokongan psikologi dan pendidikan pesakit.

Pendekatan tersebut memberi ruang kepada pesakit untuk pulih bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga emosi dan mental.

Baru-baru ini, beliau juga melancarkan buku berjudul Fighting the ‘Devil’ Within yang menghimpunkan kisah benar dan cabaran pesakit endometriosis di Malaysia. 

Buku tersebut menjadi panduan berguna untuk pesakit, penjaga dan juga petugas kesihatan. — Majoriti

Source

Back

立即咨询我们的专家!

数十年医疗经验积淀,只需轻轻点击鼠标,即可为您提供专业医护服务。

预约 联系我们
Consult our dedicated specialists today!