Jangan abaikan darah dalam air kencing
July 06, 2026

Darah dalam air kencing tidak semestinya bermaksud kanser, namun simptom itu perlu disiasat lebih lanjut. - Foto hiasan
KERAP kencing malam, aliran air kencing perlahan atau rasa tidak puas selepas membuang air kecil sering dianggap masalah biasa, terutama apabila usia semakin meningkat.
Namun di sebalik simptom yang kelihatan ringan itu, ada kemungkinan ia sebenarnya petanda awal kepada masalah kesihatan lebih serius termasuk kanser pundi kencing.
Pakar Urologi Hospital Picaso, Dr Badrulhisham Bahadzor, berkata ramai pesakit cenderung menangguhkan pemeriksaan kerana menganggap perubahan pada tabiat kencing hanyalah sebahagian daripada proses penuaan.
"Antara salah faham paling biasa ialah apabila usia meningkat, memang normal untuk susah kencing atau kerap bangun malam. Sebenarnya simptom itu tidak boleh diabaikan kerana ada keadaan yang memerlukan rawatan," katanya.

Menurut beliau, salah satu tanda paling penting yang perlu diberi perhatian ialah kehadiran darah dalam air kencing.
Katanya, ada pesakit yang melihat darah keluar sekali sahaja sebelum simptom itu hilang, lalu menganggap keadaan sudah kembali normal.
"Kalau ada darah dalam air kencing walaupun sekali dan kemudian hilang, pesakit tetap perlu jumpa doktor. Ia dibimbangi mungkin petanda kanser pundi kencing atau kanser buah pinggang,"
Dr Badrulhisham berkata, darah dalam air kencing tidak semestinya terus bermaksud kanser, namun ia adalah simptom yang perlu disiasat dengan lebih lanjut.
Beliau berkata, dalam sesetengah kes, darah mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dikesan melalui ujian air kencing di makmal.
"Kalau pemeriksaan mendapati ada sel darah merah dalam air kencing secara berulang, biasanya pesakit akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan lanjut seperti ultrasound," katanya.
Jelasnya, pemeriksaan itu penting kerana darah dalam air kencing boleh berpunca daripada mana-mana bahagian saluran urinari, bermula dari buah pinggang sehingga ke saluran kencing.
Katanya, kanser pundi kencing adalah ketumbuhan malignan yang berpotensi merebak ke organ lain jika tidak dirawat lebih awal.
"Kanser jenis ini boleh merebak ke kelenjar limfa, paru-paru, hati, tulang dan juga otak sekiranya penyakit sudah berada pada tahap lebih serius," katanya.
Golongan berisiko
Tambah beliau, simptom kanser pundi kencing juga sering mengelirukan kerana hampir sama dengan masalah lain seperti jangkitan saluran kencing atau pembesaran prostat.
"Simptom seperti rasa pedih ketika kencing, kerap kencing malam atau rasa tidak puas selepas kencing bukan simptom spesifik untuk satu penyakit sahaja," katanya.
Dr Badrulhisham berkata, pembesaran prostat atau benign prostatic hyperplasia (BPH) juga sangat lazim berlaku dalam kalangan lelaki berusia.
"Apabila usia meningkat, prostat akan terus membesar secara perlahan-lahan. Sebab itu ramai lelaki mula mengalami masalah aliran kencing perlahan atau sukar mengosongkan pundi kencing sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes BPH boleh dikawal dengan ubat, terutama jika simptom masih di peringkat awal.
Bagaimanapun, katanya, ada pesakit yang memerlukan rawatan lanjut sekiranya simptom menjadi terlalu mengganggu atau menyebabkan komplikasi seperti tidak boleh membuang air kecil.
Dalam pada itu, Dr Badrulhisham berkata golongan paling berisiko mendapat kanser pundi kencing ialah perokok, khususnya mereka yang merokok dalam tempoh yang lama.
"Risiko kanser pundi kencing dalam kalangan perokok boleh meningkat sehingga empat kali ganda berbanding individu yang tidak merokok," katanya.
Selain itu, beliau berkata individu yang bekerja dalam industri membabitkan bahan kimia seperti petrokimia, getah dan cat juga mempunyai risiko lebih tinggi akibat pendedahan berpanjangan.
Mengulas sikap pesakit yang gemar mendapatkan maklumat daripada dalam talian atau membeli produk sendiri tanpa pemeriksaan doktor, beliau berkata tindakan itu boleh menyebabkan penyakit lambat dikesan.
"Jangan buat diagnosis sendiri atau terlalu percaya kepada 'Doktor Google'. Kadang-kadang pesakit cuba rawat sendiri dengan produk herba sedangkan simptom itu sebenarnya memerlukan pemeriksaan lanjut," katanya.
Perkembangan rawatan urologi
Dalam pada itu, Dr Badrulhisham berkata, perkembangan rawatan urologi kini turut membolehkan pesakit menerima rawatan yang lebih awal dan kurang invasif, termasuk melalui prosedur Transurethral Resection of Bladder Tumour (TURBT) bagi kes tertentu membabitkan ketumbuhan dalam pundi kencing.
Katanya, penggunaan kamera berteknologi tinggi, laser dan platform robotik termasuk kaedah endoskopi, membantu mempercepatkan proses rawatan selain mengurangkan kesakitan serta tempoh pemulihan pesakit.
"Jika dikesan lebih awal, sesetengah pesakit boleh menjalani rawatan melalui prosedur TURBT bagi membuang ketumbuhan dalam pundi kencing sebelum keadaan menjadi lebih serius.
"Ia bukan saja membantu doktor membuat diagnosis lebih tepat, tetapi juga antara rawatan awal yang kurang invasif untuk membuang ketumbuhan terbabit," katanya.

Foto hiasan
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk lebih peka terhadap perubahan pada tubuh, termasuk keadaan air kencing yang dilihat setiap hari.
"Kita masuk tandas beberapa kali sehari. Apa yang kita nampak dalam mangkuk tandas sebenarnya boleh memberi petunjuk keadaan kesihatan kita," katanya.
Dr Badrulhisham berkata, golongan yang berisiko turut disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan awal kerana ia memberi peluang rawatan yang lebih baik dan boleh mengelakkan komplikasi serius pada masa hadapan.
"Lebih awal penyakit dikesan, lebih banyak pilihan rawatan yang boleh diberikan. Jangan tunggu sampai simptom jadi teruk baru mahu jumpa doktor," katanya.
Beliau turut menegaskan, simptom yang berlaku kepada pesakit tidak semestinya menandakan kanser pundi kencing kerana ia juga boleh berpunca daripada jangkitan kuman atu pembesaran prostat (BPH).
Faktor gaya hidup seperti pengambilan kafein berlebihan juga beoleh menjadi punca. Namun, pemeriksaan lanjut penting dilakukan jika simptom berlaku berulang atau berpanjangan.
INFO:
- Tanda-tanda masalah pundi kencing yang tidak boleh diabaikan;
- Darah dalam air kencing, sama ada jelas kelihatan atau hanya. dikesan melalui ujian makmal.
- Kerap buang air kecil terutama pada waktu malam.
- Aliran air kencing lemah atau perlahan.
- Rasa tidak puas selepas membuang air kecil.
- Kerap terasa hendak kencing walaupun air kencing sedikit.
- Pedih atau rasa tidak selesa ketika kencing.
- Sukar menahan kencing atau rasa mendesak untuk ke tandas.
- Air kencing berubah warna atau berbau luar biasa.
- Kencing tersekat-sekat atau mengambil masa lama untuk habis.
- Sakit di bahagian bawah abdomen atau sekitar pundi kencing.
- Kerap mengalami jangkitan saluran kencing.
- Tidak boleh kencing secara tiba-tiba hingga memerlukan tiub saluran kencing.
Source
Jangan abaikan darah dalam air kencing (Berita Harian, 6 Julai 2026)
返回与我们的医生会面
Dr Badrulhisham Bahadzor
泌尿外科顾问医生