'Filler' payudara risiko ancam kesihatan
May 31, 2026

Prosedur penggunaan filler pada payudarahanya boleh dilakukan doktor bertauliah di hospital. - Foto hiasan
PENGGUNAAN filler untuk pembesaran payudara seakan menjadi fenomena yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Walaupun isu itu bukan baharu, ia dilihat semakin berleluasa tambahan pula prosedur itu tidak sah dan tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Pakar Bedah Onkoplastik Payudara dan Endokrin Hospital Picaso, Dr Harjit Kaur, berkata masalah ini sering dianggap 'senyap' kerana ramai wanita yang menjalani prosedur itu tidak tampil membuat aduan, terutamanya apabila tiada komplikasi pada peringkat awal.
Katanya, sekiranya prosedur berkenaan berjalan tanpa sebarang masalah, kebanyakan mereka memilih untuk berdiam diri.
Namun, apabila berlaku komplikasi, masih ramai yang enggan tampil ke hadapan kerana bimbang atau tidak mengetahui saluran yang betul untuk proses aduan.
"Situasi ini menyebabkan isu berkenaan terus berlarutan tanpa kawalan berkesan," katanya kepada BH.

Jelas beliau, prosedur itu dikategorikan sebagai haram dan tidak sah, termasuk suntikan filler di bahagian badan lain seperti punggung serta amalan tertentu seperti suntikan vitamin secara intravena untuk tujuan kecantikan.
Katanya, ini berlaku apabila terdapat permintaan, ada pihak tidak bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan itu.
Beliau berkata, antara faktor utama yang mendorong wanita memilih kaedah itu kerana pengaruh rakan sebaya.
Katanya, persepsi prosedur itu lebih mudah, cepat dan tidak memerlukan pembedahan turut mempengaruhi keadaan ini.
"Ada juga kes di mana prosedur dilakukan secara berkumpulan seperti 'parti kecantikan' di mana individu tidak bertauliah datang melakukan suntikan sebelum menghilangkan diri.
"Namun, apabila timbul masalah, pesakit tidak mengetahui pihak yang perlu dihubungi dan akhirnya mereka datang ke hospital dan doktor yang perlu menguruskan komplikasi itu," katanya.
Menurutnya, penggunaan filler payudara bukan sahaja berisiko, malah berpotensi menyebabkan komplikasi serius.
Katanya, antara kesan utama adalah kerosakan pada tisu payudara serta gangguan terhadap proses pengimejan seperti mammogram dan ultrasound.
"Filler boleh menyebabkan imej payudara kelihatan seperti 'ribut salji' atau 'snowstorm', sekali gus menyukarkan doktor mengenal pasti struktur sebenar tisu.
"Ini meningkatkan risiko kanser payudara tidak dikesan pada peringkat awal," katanya.
Dr Harjit berkata, filler boleh mengeras dan membentuk benjolan dalam payudara, malah boleh menyebabkan kalsifikasi.
Punca jangkitan merebak
Jelasnya, dalam kes jangkitan, keadaan boleh menjadi lebih parah kerana kewujudan bahan filler sebagai benda asing dalam badan berupaya menyebabkan jangkitan merebak dengan lebih cepat.
"Terdapat kes jangkitan yang menjadi sangat serius sehingga payudara terpaksa dibuang sepenuhnya, berikutan pembentukan nanah yang tidak normal serta bahan filler yang keluar melalui luka pada kulit," kata beliau.
Lebih membimbangkan katanya, kesan filler adalah kekal dan ia tidak akan hilang selepas bertahun-tahun walaupun ada pihak yang mendakwa sebaliknya.
Beliau berkata, dalam sesetengah kes, filler juga boleh bergerak ke bahagian lain seperti ketiak, belakang atau perut melalui sistem limfa, menyebabkan pembentukan benjolan di kawasan berkenaan.
"Setakat ini walaupun tiada bukti kukuh bahawa filler menyebabkan kanser, ia tetap boleh menjejaskan pengesanan awal untuk penyakit itu.
"Hal ini kerana perubahan pada tisu payudara akibat filler akan menyukarkan proses diagnosis," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman merawat pesakit dengan sejarah penggunaan filler, kanser hanya dapat dikesan pada tahap kedua selepas pemeriksaan lanjut menggunakan MRI dilakukan.
"Kalau dapat dikesan awal, pesakit hanya mungkin perlukan pembedahan. Tetapi apabila dikesan lambat, mereka perlu menjalani rawatan tambahan seperti kemoterapi dan radioterapi," katanya.
Justeru beliau berkata, bagi wanita yang ingin melakukan pembesaran payudara, prosedur yang lebih selamat ialah melalui penggunaan implan silikon yang diluluskan.
Prosedur itu katanya, hanya dilakukan oleh doktor bertauliah di hospital dan jelas tidak akan merosakkan tisu payudara.
"Implan hanya diletakkan di bawah payudara, tidak disuntik ke dalam tisu jadi pemeriksaan seperti mammogram masih boleh dilakukan dengan jelas.
"Berbeza dengan prosedur yang dilakukan oleh pengamal bertauliah, filler yang digunakan oleh individu tidak bertauliah bukan sahaja tidak diketahui sumbernya, malah berisiko mengandungi bahan berbahaya seperti silikon tidak tulen," katanya
Dr Harjit turut mengakui, salah satu cabaran utama dalam menangani isu prosedur filler ialah kekurangan penguatkuasaan.
Katanya, walaupun undang-undang jelas melarang prosedur itu, tindakan sukar diambil tanpa laporan rasmi daripada pesakit.
"Tambahan pula, banyak prosedur dilakukan oleh individu seperti jurusolek atau pengendali salun kecantikan yang tidak tertakluk secara langsung di bawah bidang kuasa perubatan.
"Selagi tiada aduan dibuat, tindakan sukar diambil, sekali gus menyebabkan mereka berani meneruskan aktiviti berkenaan," katanya.
Tingkat kesedaran awam
Sehubungan itu, beliau menegaskan terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya filler payudara, selain memperketat penguatkuasaan terhadap pihak yang menawarkan perkhidmatan itu secara tidak sah.
Dr Harjit turut menasihati wanita supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran murah dan cepat tanpa memahami risiko yang mungkin dihadapi.
"Kalau sesuatu perkara nampak terlalu mudah dan murah, kebiasaannya ada risiko di sebaliknya. Lakukan kajian sendiri terlebih dahulu dan yang paling penting, dapatkan nasihat daripada doktor bertauliah.
"Keselamatan diri harus menjadi keutamaan dan sebarang keputusan berkaitan tubu tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa atau berdasarkan pengaruh daripada orang lain," katanya.

Foto hiasan
INFO:
Risiko utama filler payudara:
- Jangkitan dan keradangan:
Risiko tinggi jangkitan kuman, nanah, keradangan, dan kegatalan kronik pada payudara.
- Komplikasi jangka panjang (ketulan & keras):
Filler boleh mengeras, berpindah tempat, atau membentuk ketulan "berbonggol" yang menyakitkan setahun atau lebih selepas suntikan.
- Kerosakan tisu payudara:
Penggunaan bahan tidak dibenarkan (seperti silikon cecair/minyak) boleh merosakkan struktur payudara dan otot, menjejaskan keupayaan menyusu.
Gangguan imbasan kanser:
Filler menghalang imbasan ultrasound/CT scan, menyukarkan doktor mengesan ketulan kanser.
Bentuk tidak sekata:
Risiko tinggi payudara menjadi tidak simetri (sebelahbesar/kecil/jatuh).
Prosedur tidak diiktiraf:
Kebanyakan filler payudara tidak mendapat kelulusan KKM/FDA untuk pembesaran payudara
Source
'Filler' payudara risiko ancam kesihatan (Berita Harian, 31 Mei 2026)
BackMeet Our Specialists
Dr Harjit Kaur
Consultant Oncoplastic Breast & Endocrine Surgeon