Berita

Sindrom CKM: Gangguan Metabolik, Jantung, Buah Pinggang Perlu Dirawat Bersama - Pakar

BERNAMA

November 06, 2026

Share This News:

Sejak lima tahun lalu, pengurus kilang Joseph Lee bergelut dengan penyakit diabetes, hipertensi atau tekanan darah tinggi dan obesiti.

Justeru, apabila didiagnosis mengalami masalah buah buah pinggang pada Januari tahun ini, Lee berdepan satu lagi kebimbangan besar dalam hidupnya selain kesihatan, iaitu bagaimana dia dapat terus bekerja untuk menyara keluarga.

Lee, 45, yang menetap di Gombak, Selangor, berdepan kemungkinan perlu menjalani dialisis secara berkala, dan pada masa sama, tetap perlu berulang-alik ke tempat kerja di Selayang, Selangor.

“Tabiat pemakanan  tidak sihat, kurang bersenam, berat badan berlebihan dan tidak cukup rehat menyumbang kepada diabetes serta tekanan darah tinggi yang saya alami,” kongsi bapa kepada dua orang anak itu dengan Bernama baru-baru ini.

Atas nasihat doktor, dia memilih untuk menjalani dialisis peritoneal di rumah, yang membolehkannya menjalani rawatan selama 10 jam setiap malam ketika tidur, berbanding perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dialisis. Dengan cara itu, dia dapat terus bekerja pada waktu siang bagi menyara keluarganya.

(Dialisis peritoneal merupakan rawatan yang menggunakan lapisan dalaman rongga perut pesakit dipanggil membran peritoneum, sebagai penapis semula jadi menggantikan fungsi buah pinggang untuk mengeluarkan bahan kumuh, toksin dan cecair berlebihan daripada darah.)

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka diabetes dan tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang,” keluhnya.

Pesakit buah pinggang boleh memilih sama ada melakukan dialisis di hospital ataupun di rumah

Pengalaman Lee memperlihatkan bagaimana penyakit kronik seperti diabetes, obesiti dan hipertensi mampu membawa kesan yang meluas, khususnya apabila mula menjejaskan organ lain.

“Sekarang, saya perlu menjaga pemakanan harian. Selain mengelakkan kerja lebih masa, saya turut melakukan senaman ringan di rumah dengan bantuan isteri,” katanya.


SINDROM CKM

Obesiti dan diabetes sering dianggap sebagai masalah kesihatan yang berasingan. Namun, pakar perubatan mengingatkan  kedua-dua keadaan ini saling berkait, dengan komplikasi yang boleh menjejaskan jantung, buah pinggang serta sistem metabolik tubuh.

Kini, hubung kait kedua-dua penyakit tersebut diberikan perhatian dalam kerangka perubatan yang dikenali sebagai sindrom kardiovaskular-buah pinggang-metabolik (CKM), yang mengiktiraf bagaimana faktor risiko metabolik, penyakit kardiovaskular dan gangguan fungsi buah pinggang saling mempengaruhi.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Picaso, sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Dr Sabrina Nordin berkata konsep itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pakar perubatan telah lama menyedari kaitan antara diabetes, penyakit kardiovaskular dan masalah buah pinggang.

Beliau berkata lazimnya, penghidap diabetes, penyakit buah pinggang dan masalah kardiovaskular dirawat secara berasingan oleh pakar dalam bidang masing-masing, namun dalam kerangka perubatan tersebut, penekanan kian diberikan kepada usaha mengesan dan mengurus keadaan kesihatan tersebut secara bersama-sama, dan bukannya merawat setiap penyakit secara berasingan.

“Sebagai contoh, obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin dan akhirnya diabetes jenis 2, yang meningkatkan risiko kerosakan salur darah yang membekalkan darah kepada jantung dan buah pinggang.

“Pada masa sama, gangguan fungsi buah pinggang boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan menambah beban kerja jantung, sekali gus mewujudkan kitaran buruk yang semakin sukar dikawal,” katanya dalam temu bual menerusi Zoom dengan Bernama baru-baru ini.

Obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin dan akhirnya diabetes jenis 2, yang meningkatkan risiko kerosakan salur darah yang membekalkan darah kepada jantung dan buah pinggang

Beliau berkata lama-kelamaan diabetes dan tekanan darah tinggi mampu merosakkan salur darah serta buah pinggang, manakala kemerosotan fungsi buah pinggang pula menambahkan lagi beban pada sistem kardiovaskular.

“Kebimbangan ini bukan hanya melibatkan golongan berusia kerana kini obesiti dan diabetes turut menjejaskan rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko komplikasi serius lebih awal dalam kehidupan,” katanya.


ANCAMAN KESIHATAN DALAM DIAM

Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Picaso Dr Sharmila Sunita Paramasivam pula berkata dengan kira-kira separuh daripada penduduk dewasa Malaysia dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, saringan awal dan intervensi tepat pada masanya amat penting bagi mencegah perkembangan keadaan kesihatan yang saling berkait itu.

Beliau berkata perkara membimbangkan tentang sindrom CKM ialah banyak faktor risiko yang mendasari keadaan itu boleh berkembang tanpa menunjukkan tanda amaran jelas.

“Pesakit diabetes mungkin tidak mengalami gejala yang ketara, khususnya pada peringkat awal selepas didiagnosis.

“Akibatnya, ada pesakit yang hanya mengetahui mereka menghidap penyakit itu ketika menjalani saringan kesihatan rutin atau apabila komplikasi mula berlaku,” katanya, menambah obesiti, diabetes, hipertensi dan paras kolesterol tidak normal antara faktor risiko utama yang dikaitkan dengan sindrom CKM.

Bagaimanapun, tidak semestinya semua individu yang mengalami keadaan tersebut  akan menghidap penyakit jantung atau buah pinggang, terutama jika faktor risiko dikenal pasti dan dikawal lebih awal.

“Obesiti dan diabetes semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda. Keadaan ini meningkatkan kemungkinan komplikasi kesihatan serius berlaku lebih awal dalam kehidupan, sekali gus menjadikan pengesanan awal amat penting,” kata Dr Sharmila sambil menambah masalah metabolik boleh berkembang jauh lebih awal sebelum seseorang mengalami gejala penyakit kardiovaskular atau buah pinggang.

Pakar Perunding Kardiologi Dr Sabrina Nordin (kiri) dan Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Picaso, Dr Sharmila Sunita Paramasivam (kanan) (Gambar Ihsan Hospital Picaso)


Senada dengan kebimbangan itu, Pakar Kardiologi Intervensi perunding di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) Dr Wan Faizal Wan Rahimi Shah berkata sindrom CKM lazimnya berkembang secara beransur-ansur, dengan kemungkinan kerosakan pada jantung dan buah pinggang berlaku dalam tempoh beberapa tahun. 

Beliau berkata adalah sukar untuk menentukan dengan tepat detik waktu jantung dan buah pinggang mula terjejas, namun faktor risiko yang tidak dikawal dengan baik mampu mempercepat kerosakan organ.

“Peringkat awal, yang dikenali sebagai Tahap 1, merangkumi individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau taburan lemak tubuh tidak sihat, termasuk mereka yang mengalami rintangan insulin atau pradiabetes.

“Kebanyakan orang tidak menyedari keadaan ini kerana hampir kesemuanya tidak menunjukkan gejala. Segelintir yang mengetahui mereka berada pada tahap ini biasanya terdiri daripada mereka yang kerap menjalani saringan kesihatan,” katanya.

 

Pakar Kardiologi Intervensi Perunding di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Wan Faizal Wan Rahimi Shah (Gambar Ihsan CVSKL)


BUKAN HANYA TENTANG BERAT BADAN

Walaupun obesiti merupakan faktor risiko utama sindrom CKM, doktor mengingatkan berat badan semata-mata tidak memberikan gambaran menyeluruh tentang kesihatan metabolik seseorang.

Menurut Dr Sharmila, orang Asia boleh mengalami komplikasi metabolik pada tahap indeks jisim badan (BMI) yang lebih rendah berbanding sesetengah populasi lain.

“Berdasarkan klasifikasi BMI Asia yang lazim digunakan, BMI 23 dan ke atas dikategorikan sebagai berat badan berlebihan, manakala BMI 27.5 dan ke atas menunjukkan obesiti.

“Bagaimanapun, BMI bukan satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan kerana pengumpulan lemak berlebihan di bahagian abdomen juga boleh meningkatkan risiko komplikasi metabolik,” katanya.

Dr Wan Faizal bersetuju dan menjelaskan bahawa individu yang pada zahirnya tidak mempunyai berat badan berlebihan juga mungkin mempunyai faktor risiko metabolik, terutama jika terdapat lebihan lemak di bahagian abdomen.

Beliau berkata lemak viseral, iaitu lemak yang terkumpul jauh di dalam abdomen dan mengelilingi organ dalaman, amat membimbangkan kerana dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.

“Lemak viseral merupakan petunjuk bebas yang kuat bagi risiko penyakit kardiovaskular dengan lemak viseral berlebihan boleh mencetuskan keradangan kronik tahap rendah, menggalakkan rintangan insulin dan gangguan metabolik, selain meningkatkan beban kerja sistem kardiovaskular.

“Perubahan secara beransur-ansur ini boleh menyumbang kepada perkembangan diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular,” jelasnya.

 

Lemak viseral, iaitu lemak yang terkumpul jauh di dalam abdomen dan mengelilingi organ dalaman, amat membimbangkan kerana dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular. (infografik ihsan daripada Ideal Dexa Clinic)


Dr Wan Faizal menambah penilaian lemak viseral boleh memberikan gambaran risiko kardiovaskular yang lebih bermakna berbanding hanya bergantung pada BMI.

“Faktor lain yang turut menyumbang termasuk sejarah keluarga, tabiat pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, tidur tidak mencukupi dan tekanan berpanjangan,” katanya.

MEMUTUSKAN KITARAN

Walaupun sindrom CKM boleh membawa pelbagai komplikasi, Dr Sharmila berkata intervensi awal dapat membantu mengurangkan risiko perkembangan penyakit.

“Penambahbaikan dalam pengurusan berat badan, tabiat pemakanan dan aktiviti fizikal boleh memberikan manfaat besar kepada individu yang mengalami obesiti, pradiabetes dan diabetes jenis 2.

“Bagi sesetengah pesakit, penurunan berat badan yang berkekalan serta rawatan yang bersesuaian dapat membantu mengawal paras gula dalam darah dan, dalam keadaan tertentu, membawa kepada remisi diabetes,” katanya.

Beliau berkata selain perubahan gaya hidup, rawatan perubatan mungkin diperlukan bergantung pada keadaan kesihatan dan faktor risiko seseorang pesakit.

“Ubat tertentu seperti Ozempic dan Mounjaro yang digunakan untuk menguruskan diabetes dan obesiti, turut menunjukkan manfaat terhadap kesihatan kardiovaskular atau buah pinggang dalam kumpulan pesakit tertentu.

“Bagaimanapun, ubat-ubatan ini hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang sewajarnya,” katanya.

Pesakit diabetes dan penyakit darah tinggi disaran untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala


Sementara itu, Dr Wan Faizal berkata rawatan akan menjadi lebih mencabar apabila sindrom CKM semakin berkembang, khususnya ketika pesakit mula mengalami penyakit kardiovaskular yang nyata.

Beliau berkata Tahap 4 merupakan peringkat paling lanjut sindrom CKM, iaitu apabila penyakit kardiovaskular klinikal sudah berlaku.

“Pada tahap ini, kerosakan pada jantung, buah pinggang atau organ lain mungkin berkekalan, sekali gus menjadikan intervensi awal amat penting.

“Bagi individu yang sudah mengalami obesiti atau diabetes tetapi keputusan pemeriksaan jantung dan buah pinggang masih normal, keutamaan adalah untuk mencegah perkembangan penyakit menerusi rawatan perubatan yang bersesuaian.

“Oleh itu, rawatan perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan dan faktor risiko setiap individu,” katanya.

PENDEKATAN LEBIH TERSUSUN

Dr Sabrina pula berkata penyelarasan yang lebih erat antara pengamal perubatan penting bagi memastikan sindrom CKM dapat diuruskan dengan berkesan.

Beliau berkata memandangkan masalah kardiovaskular, buah pinggang dan metabolik saling berkait, pesakit boleh mendapat manfaat daripada pendekatan rawatan yang lebih menyeluruh dengan penglibatan pakar daripada pelbagai bidang perubatan.

“Daripada merawat diabetes, hipertensi, gangguan fungsi buah pinggang dan penyakit kardiovaskular secara berasingan, doktor perlu mengambil kira bagaimana setiap keadaan itu boleh mempengaruhi keadaan yang lain,” katanya.

Dr Wan Faizal berkata pengurusan sindrom CKM yang ideal memerlukan penyelarasan antara pakar kardiologi, nefrologi, endokrinologi dan doktor penjagaan primer.

Bagaimanapun, di Malaysia, sebahagian besar tanggungjawab dalam menguruskan pesakit yang mengalami masalah kesihatan tersebut masih dipikul oleh doktor perubatan am, ujarnya.

“Pesakit mungkin mendapatkan rawatan daripada pakar yang berbeza pada peringkat awal, bergantung pada masalah kesihatan yang dikenal pasti terlebih dahulu.

“Oleh itu, rujukan kepada pakar yang bersesuaian pada masa yang tepat amat penting, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks atau yang disesuaikan dengan keperluan individu,” katanya.

Source

Sindrom CKM: Gangguan Metabolik, Jantung, Buah Pinggang Perlu Dirawat Bersama - Pakar (BERNAMA, 6 November 2026)

Kembali

Meet Our Specialists

Konsultasikan dengan Dokter Spesialis Kami Hari Ini!

Dengan pengalaman selama puluhan tahun, dokter spesialis kami siap membantu Anda hanya dalam beberapa klik.

Buat Janji Temu Hubungi Kami
Consult our dedicated specialists today!