Kepentingan saringan awal kanser payudara
October 08, 2024
Dr. Ng berkata, kebiasaannya pesakit tidak dapat merasakan ketulan pada payudara pada peringkat awal.
BERBICARA tentang kanser payudara, ia menjadi satu penyakit yang membimbangkan buat golongan wanita di seluruh dunia.
Malah, di Malaysia kanser payudara berada di kedudukan tertinggi sebagai kanser utama yang berlaku di kalangan wanita.
Namun begitu, kemajuan dalam bidang perubatan juga menyaksikan kaedah rawatan yang digunakan untuk merawat kanser payudara juga semakin semakin berkembang.
Perunding Payudara dan Pakar Bedah Rekonstruktif Payudara Hospital Picaso, Dr. Ng Char Hong berkata, pendekatan terhadap rawatan kanser payudara telah berubah dengan ketara ketika.
Menurutnya, mereka pernah melakukan rawatan yang standard di mana mengeluarkan ketulan dengan membuang keseluruhan payudara pesakit.
“Tetapi kini, kami mulakan dengan biopsi terlebih dahulu dan tidak mengeluarkan ketulan serta-merta.
“Melalui biopsi kita dapat menentukan jenis kanser payudara pesakit sama ada kanser payudara triple-negative (TNBC) atau kanser payudara HER2-positif dan seterusnya kita dapat merancang rawatan yang lebih tepat untuk diberikan kepada pesakit,” katanya.
Tambahnya, kini mereka bergerak lebih kepada kaedah kemoterapi neoadjuvant untuk jenis tertentu kanser payudara sebelum pembedahan dilakukan.
Kemoterapi neoadjuvant merupakan salah satu perubahan penting dalam rawatan kanser payudara di mana kemoterapi diberikan terlebih dahulu sebelum pembedahan.
Pendekatan ini membolehkan doktor mengukur sejauh mana kanser pesakit bertindak balas terhadap rawatan sebelum meneruskan pembedahan.
“Dengan memberi kemoterapi terlebih dahulu, kita boleh menilai sama ada pesakit bertindak balas dengan baik, yang akhirnya meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
“Melalui kemoterapi saiz ketulan kanser payu dara mungkin semakin mengecil dan dengan itu, kami tidak lagi membuang keseluruhan payudara jika boleh,” jelas Dr. Ng.
Melalui kaedah tersebut, ia membantu dalam menyesuaikan rawatan mengikut jenis kanser khusus pesakit serta membolehkan doktor menyesuaikan ubat-ubatan jika pesakit tidak bertindak balas dengan optimum kepada rawatan awal.
Dalam pada itu, pendekatan untuk pembedahan juga kini semakin berkembang.
Dr. Ng menjelaskan, sebelum ini penyingkiran keseluruhan payudara adalah prosedur standard untuk dilakukan.
“Tetapi kini, kita cuba untuk tidak melakukannya, walaupun kadang-kadang kita tidak dapat mengelakkan daripada melakukannya.
“Kadang-kadang kanser ini merebak dan tidak selamat untuk membuang ketulan sahaja, jadi kami mengeluarkan keseluruhan payudara.
“Selepas pembedahan, mereka mempunyai pilihan untuk menjalani rawatan membina semula atau rekonstruktif payudara”, ujarnya yang mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang tersebut.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang trend kanser payudara di negara ini Dr. Ng melihat semakin ramai wanita di negara ini berhadapan dengan masalah tersebut.
Terangnya, peningkatan ini berlaku disebabkan populasi rakyat kita yang semakin tua dan lebih banyak saringan pemeriksaan dilakukan sehingga menyebabkan ramai didiagnosis dengan masalah itu dengan lebih awal.
“Tetapi Malaysia pada masa kini kadar insiden kanser payudara tidak tinggi berbanding negara maju yang lain.
“Di negara maju nisbah untuk kanser payu dara adalah 1 daripada 8 wanita menghadapi risiko untuk mendapat kanser payudara, tetapi di Malaysia nisbahnya adalah 1 daripada 20,” katanya.
Tambahnya, negara maju, kanser payudara biasa berlaku kepada pesakit yang berusia 50-an, 60-an dan 70-an, manakala di Malaysia kebanyakan pesakit kanser payu dara berada dalam kumpulan umur yang lebih muda iaitu dalam lingkungan 30-an dan 40-an.
Namun begitu, di Malaysia ada pesakit yang berhadapan dengan kanser payu dara pada umur yang jauh lebih muda daripada itu iaitu dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang dapat dikesan.
Dalam pada itu, setiap wanita perlu mengetahui akan tanda-tanda yang membawa kepada kanser payudara.
Petanda utama yang pesakit boleh sedar bahawa mereka mungkin berhadapan dengan kanser tersebut adalah jika ada ketulan pada bahagian payudara serta puting payudara mengeluarkan darah atau cecair lain.
Mengulas lanjut, Dr. Ng berkata, kebiasaannya pesakit tidak dapat merasakan ketulan pada payudara pada peringkat awal.
“Oleh itu, untuk mengetahui bahawa anda menghidap kanser payudara pada tahap awal saringan, perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Pesakit akan dapat mengesan mereka menghidap kanser payudara pada peringkat awal dengan melakukan saringan mammogram dan ultrasound,” jelasnya.
Tambahnya, tiada apa yang boleh dilakukan untuk mencegah kanser payudara selain daripada melakukan saringan awal untuk mengesannya.
Apabila kanser itu dapat didiagnosis pada peringkat awal, kemudian rawatan awal boleh diberikan sebelum masalah itu menjadi lebih serius.
Mereka yang mempunyai kecenderungan genetik terhadap kanser payudara boleh mengambil inisiatif untuk melakukan saringan dengan lebih awal.
Sementara itu, tidak dapat dinafikan dalam masyarakat kita, ramai yang mempunyai salah tanggapan terhadap kanser payudara.
Dr. Ng berkata, perkara pertama yang sering diperkatakan tentang kanser payu dara adalah ia akan menyebabkan kematian.
“Jika saya mendapat kanser payu dara, saya tidak akan pulih, inilah anggapan yang sering kita dengar.
“Selain itu, kita juga sering mendengar persepsi bahawa payudara perlu dibuang keseluruhannya jika pesakit berhadapan dengan masalah tersebut.
“Kini tidak semua pesakit perlu membuang payudara dan jika payudara perlu dibuang ia masih boleh dibentuk semula melalui pembedahan,” ujarnya.
Jelasnya, kini rawatan kanser payudara juga lebih meluas dan jika pesakit didiagnosis lebih awal mereka boleh mendapatkan rawatan yang tidak rumit.
Sementara itu, Dr. Ng menjelaskan, pendekatan pelbagai disiplin untuk rawatan kanser payudara adalah sesuatu yang penting.
Di Hospital Picaso, pesakit mendapat manfaat daripada pasukan kolaboratif pakar bedah, pakar onkologi, pakar patologi dan ahli radiologi yang bekerjasama untuk membangunkan pelan rawatan yang diperibadikan.
“Perkara utama mengenai rawatan kanser payudara sekarang ialah ia bukan lagi hanya ‘saya berjumpa anda dan saya terus merawat anda’, tetapi kami membincangkan kes bersama dalam satu pasukan dan memutuskan pendekatan terbaik yang boleh diambil,” jelasnya.
Sebagai tambahan kepada kemajuan dalam rawatan kanser payudara, Hospital Picaso menawarkan pengalaman penjagaan yang komprehensif dan tertumpu kepada pesakit.
Dr. Ng menjelaskan, melalui pendekatan bersepadu di hospitalnya, ia membolehkan pesakit menjalani diagnosis, biopsi, dan perancangan rawatan semuanya dalam satu keadaan.
“Kami menyediakan ini supaya pesakit boleh berasa selesa dan mendapat rawatan yang berseluruh tanpa tekanan berbilang temu janji,” katanya.
“Hospital ini direka bentuk dengan mengutamakan keselesaan pesakit, menawarkan penjagaan peribadi dan teknologi canggih.
“Malah juga menyediakan perkhidmatan sokongan penting untuk pesakit bagi memastikan rawatan yang mereka terima berjalan lancar,” ujarnnya. -KOSMO!ONLINE
Back