Berita

Kanser payudara: Kerjasama baharu perkukuh intervensi, latih 100 pakar

Utusan TV

October 06, 2026

Share This News:

KANSER payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita di Malaysia.

Menurut Malaysia National Cancer Registry Report 2017–2021, sebanyak 50.5 peratus (%) kes kanser payudara dalam kalangan wanita, diketahui ketika didiagnosis pada tahap III atau IV.

Ini sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengesanan awal, diagnosis dan rawatan yang lebih bersepadu.

Menyedari cabaran itu, Hospital Picaso, Becton, Dickinson and Company (BD) dan College of Radiology Malaysia menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh keupayaan intervensi payudara serta penjagaan kanser payudara secara multidisiplin di negara ini.

Kerjasama selama tiga tahun itu menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 100 pakar bedah payudara, pakar radiologi payudara dan juru radiografi menerusi latihan klinikal berstruktur dan pembangunan kemahiran.

Antara inisiatif utama ialah penubuhan BD Breast Academy Malaysia Chapter dengan kerjasama Hospital Picaso, yang akan menjadi platform khusus untuk kelas pakar, bengkel amali, bimbingan klinikal, perbincangan kes, pembangunan tenaga pengajar dan pertukaran ilmu.

Hospital Picaso yang terletak di Petaling Jaya, Selangor ini turut dibangunkan sebagai Breast Intervention Centre of Excellence dan hab latihan bagi memperkukuh kemahiran intervensi payudara di Malaysia.

Cabaran pengesanan awal

Menerusi Roadmap Towards Downstaging of Breast Cancer in Malaysia 2025–2035, Kementerian Kesihatan menetapkan sasaran supaya sekurang-kurangnya 60% kanser payudara invasif dikesan pada peringkat awal, penilaian diagnostik diselesaikan dalam tempoh 60 hari dan sekurang-kurangnya 80% pesakit melengkapkan rawatan multimodaliti.

Justeru, pengukuhan kemahiran petugas kesihatan bukan sekadar berkaitan prosedur, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit mendapat laluan penjagaan yang lebih pantas, tepat dan terselaras.

Latihan yang dirancang merangkumi pengimejan payudara, Core Needle Biopsy (CNB), Vacuum-Assisted Breast Biopsy (VABB), biopsi berpandukan imej, penentuan lokasi lesi serta prosedur intervensi payudara invasif minimum.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Picaso, Ahmad Lutfi, berkata, penjagaan kanser payudara melibatkan rangkaian keputusan klinikal yang saling berkait, daripada pengesanan awal sehingga rawatan.

“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai bengkel atau prosedur. Dengan membawa pendidikan klinikal ke dalam persekitaran multidisiplin, kita membantu petugas kesihatan memahami bagaimana setiap keputusan pada satu peringkat boleh mempengaruhi langkah seterusnya dalam perjalanan pesakit,” ujarnya.

Perkukuh laluan rawatan

Kerjasama berkenaan turut menghubungkan pakar radiologi payudara, pakar bedah, pakar onkologi, pakar patologi dan profesional kesihatan lain menerusi perbincangan tumour board, semakan kes bersama serta aktiviti pendidikan rentas kepakaran.

Pendekatan itu penting bagi memastikan keputusan berkaitan diagnosis, rawatan dan pengurusan pesakit dapat dibuat secara lebih selaras.

Ia juga dijangka memperkukuh laluan rujukan, khususnya antara pakar radiologi payudara dan pakar bedah, sekali gus membantu mempercepatkan keputusan klinikal serta akses kepada rawatan bersesuaian.

Presiden College of Radiology Malaysia, Dr Farhana Fadzli, berkata, intervensi payudara merupakan penghubung penting antara pengesanan kelainan dan penentuan rawatan seterusnya.

“Kualiti pengimejan, pengambilan sampel tisu dan penentuan lokasi lesi, selain komunikasi berkesan antara kepakaran, boleh mempengaruhi keputusan rawatan pada peringkat seterusnya.

“Platform latihan, bimbingan dan pembelajaran multidisiplin yang tersusun membolehkan profesional kesihatan terus memperkukuh kemahiran sambil belajar antara satu sama lain,” jelasnya.

Bina rangkaian profesional

Kerjasama Malaysia Chapter itu dibangunkan berdasarkan kejayaan Southeast Asia BD Breast Academy yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu dan telah melatih lebih 100 profesional kesihatan menerusi bengkel, kelas pakar, pertukaran klinikal dan perkongsian ilmu.

Naib Presiden dan Pengurus Besar BD Asia Tenggara dan Pakistan, Lu Liang, memberitahu, perubahan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata.

“Ia memerlukan kerjasama kukuh, profesional kesihatan yang diperkasakan dan komitmen bersama untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit serta komuniti,” katanya.

Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani di Hotel Sheraton Petaling Jaya bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, selepas berlangsungnya Hospital Picaso’s MDT Series: Early Breast Cancer 2026 yang menghimpunkan pakar dalam bidang pembedahan, onkologi, radiologi, patologi, genetik dan bidang berkaitan.

Untuk tempoh tiga tahun akan datang, Hospital Picaso, BD dan College of Radiology Malaysia akan memperluas pendidikan intervensi payudara, membangunkan tenaga pengajar serta memperkukuh kerjasama multidisiplin.

Matlamat akhirnya adalah jelas iaitu membantu mengesan kanser payudara lebih awal, mempercepatkan diagnosis, memastikan intervensi yang tepat dan mewujudkan perjalanan rawatan yang lebih tersusun untuk pesakit.

Source

Kanser payudara: Kerjasama baharu perkukuh intervensi, latih 100 pakar (Utusan TV, 6 Oktober 2026)

Hospital Picaso, BD dan College of Radiology perkukuh rawatan kanser payudara (Sinar Harian, 7 Oktober 2026)

Kembali

Meet Our Specialists

Konsultasikan dengan Dokter Spesialis Kami Hari Ini!

Dengan pengalaman selama puluhan tahun, dokter spesialis kami siap membantu Anda hanya dalam beberapa klik.

Buat Janji Temu Hubungi Kami
Consult our dedicated specialists today!