报道

Trauma wanita keguguran

May 04, 2026

Share This News:

Foto hiasan

HAMPIR semua pasangan yang berkahwin mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap dan permulaan sebuah keluarga yang bahagia.

Namun, tidak semua pasangan melalui perjalanan itu dengan mudah apabila ada dalam kalangan wanita diuji dengan kehilangan kandungan.

Keguguran bukan sahaja kehilangan dari segi fizikal, malah memberi kesan emosi mendalam, khususnya kepada wanita yang menanggung kandungan.

Situasi ini menjadi satu pengalaman sukar, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga atau sudah lama menanti kehadiran zuriat.

Pakar Perunding Ginekologi, Pakar Endometriosis serta Pakar Bedah Invasif Minimum Lanjutan dan Robotik, Hospital Picaso, Dr Sharifah Halimah Jaafar, berkata keguguran bukan sesuatu yang asing dan dianggarkan berlaku antara 15 hingga 20 peratus bagi setiap kehamilan, terutama pada trimester pertama.

Katanya, dari sudut perubatan, kira-kira 80 peratus keguguran berlaku disebabkan masalah genetik atau kromosom pada janin yang menyebabkan perkembangan bayi tidak normal.

Cara mencegah keguguran

Dalam keadaan tertentu, tubuh wanita secara semula jadi akan menamatkan kehamilan apabila mendapati janin tidak berkembang dengan baik atau boleh memudaratkan ibu.

Dr Sharifah Halimah Jaafar

Dr Sharifah Halimah Jaafar

"Selain faktor janin, keguguran juga boleh berlaku disebabkan masalah pada rahim ibu seperti adenomyosis, kelemahan serviks, serta penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit autoimun.

"Tekanan emosi melampau juga boleh menjadi faktor penyumbang kerana apabila seseorang wanita mengalami stres, hormon kortisol meningkat, tekanan darah naik dan ia boleh menjejaskan aliran darah ke rahim," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan tekanan melampau, tubuh akan memilih untuk melindungi ibu terlebih dahulu berbanding kandungan kerana kehamilan dianggap sebagai beban tambahan kepada tubuh dalam situasi tertentu.

Tanda-tanda keguguran

Dr Sharifah Halimah berkata, antara tanda keguguran termasuk pendarahan faraj, sakit atau kekejangan di bahagian bawah perut, sakit belakang, serta keluar ketulan tisu dari faraj.

Katanya, ada juga keguguran yang berlaku tanpa disedari, terutama pada peringkat awal kehamilan.

"Wanita yang mengalami keguguran disarankan mendapatkan rawatan segera bagi memastikan tiada komplikasi seperti jangkitan atau pendarahan berterusan," katanya.

Cara mencegah keguguran

Pada masa sama, Dr Sharifah Halimah turut menasihatkan wanita menjaga kesihatan sebelum merancang kehamilan. Ini termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan, mengawal penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi, mengamalkan pemakanan seimbang serta menguruskan stres dengan baik.

"Kehamilan adalah satu bonus, jadi wanita perlu pastikan mereka sihat terlebih dahulu. Amalkan gaya hidup sihat, bersenam, makan makanan berkhasiat dan jalani pemeriksaan kesihatan sebelum merancang kehamilan.

"Kita mungkin tidak boleh mengelakkan keguguran disebabkan masalah genetik, tetapi kita boleh mengurangkan risiko keguguran yang berpunca daripada masalah kesihatan ibu," katanya.

Kesan emosi dan trauma

Sementara itu, Kaunselor Berdaftar dan Berlesen, Kelly Lai, berkata ramai wanita mengalami perasaan sedih, bersalah, cemas dan kemurungan selepas keguguran, malah ada yang trauma sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental.

Kelly berkata, sebahagian wanita turut mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), terutama jika keguguran berlaku pada usia kandungan yang sudah besar atau mereka sempat melihat bayi yang dilahirkan.

Kelly Lai

Kelly Lai

"Ramai wanita cenderung menyalahkan diri sendiri dan merasakan keguguran berlaku kerana mereka tidak menjaga diri dengan baik, sedangkan dalam kebanyakan kes ia berlaku disebabkan faktor biologi dan di luar kawalan mereka.

"Apa yang lebih menyedihkan, ada wanita tidak mendapat sokongan emosi secukupnya daripada pasangan atau keluarga, menyebabkan mereka memendam perasaan dan akhirnya mengalami kemurungan," katanya.

Beliau berkata, antara tanda kemurungan selepas keguguran ialah kesedihan berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, mengasingkan diri, gangguan tidur dan dalam kes serius, mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri.

Kepentingan sokongan dan kaunseling

Kelly berkata, wanita yang mengalami keguguran digalakkan mendapatkan sokongan emosi sama ada daripada pasangan, keluarga, rakan atau kaunselor kerana proses berduka adalah penting bagi membantu mereka pulih daripada trauma.

Katanya, menyertai kumpulan sokongan juga boleh membantu kerana wanita akan berasa mereka tidak bersendirian dan dapat berkongsi pengalaman dengan individu yang melalui situasi sama.

"Keguguran bukan hanya kehilangan seorang bayi, tetapi juga membabitkan kehilangan harapan dan impian sebuah keluarga.

"Justeru, wanita yang melalui pengalaman ini memerlukan sokongan, kefahaman dan ruang untuk pulih, bukan dipersalahkan atau dipinggirkan," katanya.

INFO:

Tanda-tanda keguguran:

  • Pendarahan faraj
  • Sakit / kekejangan bawah perut
  • Sakit belakang
  • Keluar ketulan tisu
  • Kadang berlaku tanpa disedari

Cara mencegah keguguran:

  • Pemeriksaan kesihatan sebelum hamil
  • Kawal penyakit kronik
  • Pemakanan seimbang
  • Senaman berkala
  • Urus stres dengan baik

 

Source

Trauma wanita keguguran (Berita Harian, 4 May 2026)

Reference

Trauma wanita keguguran

返回

立即咨询我们的专家!

数十年医疗经验积淀,只需轻轻点击鼠标,即可为您提供专业医护服务。

预约 联系我们
Consult our dedicated specialists today!