报道

Kesedaran endometriosis perlu dipertingkat, elak rawatan lewat

March 10, 2026

Share This News:

BH-260310-Endometriosis-Dr TEP, Dr SHJ, Dr DT, Dr ML

Dari kiri; Dr Tan Ee Ping, Dr Sharifah Halimah Jaafar, Dr Debbie Teh dan Dr Michael Lim pada sesi perbincangan panel anjuran Hospital Picaso bersempena Hari Wanita Antarabangsa dan Bulan Kesedaran Endometriosis, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR: Kesedaran mengenai penyakit endometriosis dalam kalangan wanita perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kelewatan diagnosis yang boleh menyebabkan rawatan tertangguh serta meningkatkan risiko pembedahan berulang.

Pakar Perunding Ginekologi, Dr Tan Ee Ping, berkata masih ramai wanita menganggap endometriosis sekadar sakit haid yang teruk sedangkan keadaan itu boleh memberi kesan besar kepada kesihatan serta kesuburan jika tidak dirawat dengan segera.

Beliau berkata, simptom seperti sakit haid yang melampau, ketidakselesaan pelvis berterusan atau kesakitan yang menjejaskan aktiviti harian tidak seharusnya dianggap perkara biasa.

"Ramai wanita yang menghidap endometriosis masih berdepan kelewatan diagnosis. Dalam banyak kes, penyakit ini hanya dikenal pasti selepas lima hingga 10 tahun kerana pesakit menormalkan simptom atau menangguhkan rawatan.

"Diagnosis awal dan rawatan tepat pada masanya penting bagi mengurangkan risiko penyakit berulang, mengelakkan pembedahan yang tidak perlu serta membantu memelihara kesuburan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan panel sempena majlis iftar Ramadan yang dianjurkan Hospital Picaso bersempena Hari Wanita Antarabangsa dan Bulan Kesedaran Endometriosis di Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini.

Majlis itu turut menampilkan pakar dari Pusat Kesihatan Wanita Hospital Picaso iaitu Pakar Perunding Ginekologi, Dr Sharifah Halimah Jaafar dan Dr Debbie Teh Sue-Jian serta Pakar Ginekologi & Gine-Onkologi, Dr Michael Lim Chung Keat.

Perbincangan itu turut menyentuh kepentingan pendekatan rawatan bersepadu membabitkan pelbagai kepakaran dalam pengurusan kes kesihatan wanita, khususnya apabila simptom penyakit bertindih dengan isu berkaitan onkologi.

Menurut Dr Tan, endometriosis juga boleh membabitkan organ berhampiran seperti usus dan pundi kencing, justeru rawatan sering memerlukan kerjasama antara pakar ginekologi, pakar urologi serta pakar bedah kolorektal.

"Pendekatan pelbagai disiplin penting bagi memastikan rawatan yang menyeluruh, selamat serta memberi tumpuan kepada keperluan pesakit," katanya.

Sementara itu, data Kementerian Kesihatan menunjukkan penyakit berkenaan terus memberi beban kepada sistem kesihatan negara.

Semakan teknologi MaHTAS Kementerian Kesihatan pada 2025 menganggarkan antara 10 hingga 15 peratus wanita di Malaysia terjejas akibat endometriosis.

Indikator Kesihatan 2025 turut merekodkan sebanyak 1,937 kes discaj hospital berkaitan endometriosis di seluruh negara.

Hospital Picaso memaklumkan, pihaknya telah merawat kira-kira 500 kes endometriosis sejak mula beroperasi pada 19 Jun 2024 hingga kini.

Dalam pada itu, hospital berkenaan akan menganjurkan pertemuan pesakit endometriosis pada 28 Mac ini sebagai platform pendidikan, bimbingan serta sokongan kepada pesakit.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran akan diumumkan menerusi saluran media sosial Hospital Picaso.

 

Sources

Kesedaran endometriosis perlu dipertingkat, elak rawatan lewat (Berita Harian, 10 Mac 2026)

Hospital Picaso Sempena Hari Wanita Sedunia, Tekankan Kesedaran Endometriosis (Tajria, 9 Mac 2026)

HOSPITAL PICASO ANGKAT KESEDARAN ENDOMETRIOSIS MENERUSI IFTAR RAMADAN DAN PANEL HARI WANITA SEDUNIA (Female Online Magazine, 11 Mac 2026) 

 

返回

与我们的医生会面

立即咨询我们的专家!

数十年医疗经验积淀,只需轻轻点击鼠标,即可为您提供专业医护服务。

预约 联系我们
Consult our dedicated specialists today!